KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan perlindungan sosial dan kebajikan bagi meningkatkan kesejahteraan golongan rentan, wanita, kanak-kanak, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan bulanan berjumlah RM231.2 juta disalurkan kepada 61,603 penerima sehingga September 2026.
“Sebanyak RM10.9 juta turut dibelanjakan bagi bantuan kesihatan kepada 649 penerima.
“Manakala, RM23.71 juta disalurkan kepada 499,859 mangsa bencana,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementerian beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dalam perkembangan lain, jelasnya, sebanyak 8,576 kes jenayah siber direkodkan dari 2024 hingga September 2026, melibatkan kerugian RM289.2 juta.
“Bagi kes keganasan rumah tangga, ia menurun daripada 552 kes pada 2024 kepada 535 kes pada 2025, namun kes melibatkan mangsa wanita meningkat daripada 371 kepada 382 kes,” katanya.
Bagi isu kehamilan remaja, jumlah kes menurun 7.7 peratus daripada 1,159 kes bagi Januari hingga Ogos 2025 kepada 1,070 kes bagi tempoh sama tahun ini, ujarnya.
Fatimah menambah, dalam aspek kebajikan warga emas, seramai 234,318 individu berdaftar di bawah Senior Citizen Health Benefit (SCHB).
“Manakala RM3 juta disalurkan kepada 122 Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) bagi melaksanakan 267 program,” katanya.
