Pengeluaran minyak darat Sarawak kembali selepas hampir 50 tahun

KUCHING: Pengeluaran minyak darat Sarawak kembali beroperasi pada Julai 2026 selepas hampir 50 tahun terhenti.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, PETROS dan PETRA Energy memulakan pengeluaran minyak menerusi Adong Kechil West di Blok SK433, Miri, dengan kira-kira 800 tong sehari daripada satu telaga.

“Teknologi geofizik dan pengimejan bawah permukaan yang semakin maju memberi peluang kepada Sarawak untuk menilai semula potensi hidrokarbon daratnya,” katanya semasa menggulung perbahasan pada persidangan DUN, di sini, hari ini.

Usaha penerokaan awal turut memberi tumpuan kepada Balingian, Limbang, Marudi dan Niah berdasarkan maklumat geologi daripada tinjauan graviti.

Pada masa sama, katanya PETROS meneroka pembangunan bersepadu medan gas luar pesisir di barat Sarawak bagi membekalkan gas kepada Hab Rendah Karbon Kuching.

“Pembangunan sumber gas luar pesisir dan terminal LNG Kuching akan menyediakan bekalan gas jangka panjang bagi penjanaan tenaga serta aktiviti perindustrian pada masa hadapan,” tambahnya.

Terminal LNG Kuching yang dicadangkan bakal menjadi kemudahan pengegasan semula LNG pertama Sarawak manakala pembangunan tenaga solar dan hidro turut menyokong keperluan tenaga negeri.