KUCHING: Projek pembangunan dan inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak merupakan pelaburan untuk mensejahterakan masa hadapan anak-anak Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak berupaya melaksanakan projek yang dicadangkan kerana memperoleh hasil pendapatan meningkat setiap tahun.
Di samping itu, kerajaan turut melabur dalam bidang pendidikan supaya anak-anak Sarawak mendapat pendidikan sebaiknya, katanya semasa menggulung perbahasan pada persidangan DUN di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, manakala bantuan kebajikan bersasar yang kerajan hulurkan bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Hasil pendapatan yang diperoleh negeri ini sekarang lebih daripada sekali ganda daripada RM5.9 bilion pada 2016 kepada RM13.6 bilion pada tahun ini, katanya.
Hasil pendapatan itu diunjurkan RM15.1 bilion tahun 2027 iaitu tertinggi dalam sejarah, tegas beliau.
Projek pembangunan yang dilaksanakan berupa pembinaan jalan raya utama seperti Rangkaian Jalan Raya Pesisir dan Jalan Raya Utama Kedua yang bernilai kira-kira RM11 bilion, katanya.
Beliau menambah, projek jalan raya terbabit dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak.
Premier Sarawak berkata, pembangunan jalan raya itu merangkumi pembinaan 21 jambatan utama, 193 kilometer (km) jalan raya baharu menaik taraf 425 klometer jalan raya sedia ada.
Rangkaian Jalan Raya Pesisir dijangka siap pada 2027 dan Jalan Raya Utama Kedua pada tahun 2030, katanya.
Kerajaan memperuntukan sebanyak RM2.27 bilion tahun depan untuk tujuan itu dan jalan raya penting termasuk Lebuh Raya Pesisir Utara, katanya.
Kerajaan akan turut membina 142 km jalan raya di Baram dengan kos bernilai RM3.8 bilion menghubungkan Miri, Long Panai dan Long Lama (3M2L).
