KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada 19,851 penjawat awam negeri membabitkan anggaran perbelanjaan RM144 juta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan itu berdasarkan gaji pokok terakhir November 2026 dan akan dibayar sebelum penghujung tahun ini.
“Kejayaan Sarawak hari ini adalah hasil titik peluh seluruh penjawat awam yang melaksanakan amanah kerajaan dengan penuh dedikasi, termasuk di pedalaman,” katanya semasa menggulung perbahasan pada persidangan DUN, di sini, hari ini.
Selain itu, penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak akan menerima BKK secara sekali bayar sebanyak RM700 seorang melibatkan 132,347 penerima dengan anggaran perbelanjaan RM93 juta.
“Penghargaan ini merangkumi sumbangan semua pihak yang berkhidmat untuk Sarawak termasuk guru, petugas kesihatan dan anggota keselamatan yang menjadi sebahagian daripada kejayaan pembangunan negeri,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan sekali bayar RM500 kepada kira-kira 10,141 pesara perkhidmatan awam negeri dengan anggaran perbelanjaan RM5.1 juta.
Kerajaan Sarawak turut menyediakan insentif RM700 secara sekali bayar kepada pengamal media swasta yang berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka.
