1,246 projek pembiayaan alternatif Sarawak siap

KUCHING: Sebanyak 1,246 daripada 1,869 projek pembangunan menerusi inisiatif pembiayaan alternatif Kerajaan Sarawak siap setakat September 2026.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, baki 623 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Sebanyak RM169 juta daripada peruntukan RM353 juta bagi Projek Rakyat turut dibelanjakan setakat September.

“Seramai 455 kontraktor Bumiputera dipilih menyertai 130 projek bernilai RM79.8 juta menerusi Program Kontraktor Berdaya Saing (PKBS).

“Daripada jumlah itu, 80 projek bernilai RM42.48 juta dianugerahkan kepada 51 kontraktor berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementerian beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam pembangunan keusahawanan, jelasnya, sebanyak 261 permohonan bantuan bernilai RM1.9 juta diluluskan menerusi Program Peningkatan Usahawan Bumiputera (PUTERA).

Manakala, ujarnya, 25 Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) beroperasi dengan penyertaan 5,953 peserta.

“Seramai 81 kontraktor Bumiputera menerima pembiayaan RM10.5 juta menerusi Skim Pembiayaan Kontraktor Kecil Bumiputera.

“Sementara 30 vendor perabot Bumiputera memperoleh kontrak bekalan bernilai RM5 juta setahun,” jelasnya.

Mengenai penyertaan Bumiputera, beliau menjelaskan dasar minimum 30 peratus nilai pakej kerja terpakai kepada projek pembangunan kerajaan bernilai RM100 juta ke atas, bukannya semua projek kerajaan.

Dasar tersebut tegasnya, turut merangkumi diskaun pembelian premis perniagaan sebanyak 10 peratus dan peruntukan 30 peratus premis perniagaan bagi memperluaskan penyertaan usahawan Bumiputera.

Dalam perkembangan lain, Uggah berkata, sistem e-Quotation dan e-Tender akan diperluaskan ke semua kementerian serta ibu pejabat jabatan menjelang Disember 2026.

Kerajaan Sarawak juga jelasnya, telah menyiapkan Kajian Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PPP) bagi memperluaskan pembiayaan pembangunan melalui penglibatan sektor swasta.

Dalam masa sama, ujarnya, Kerajaan Sarawak meluluskan siling peruntukan RM52.5 bilion bagi membiayai 1,203 projek dan inisiatif sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Sebanyak RM9.7 bilion diperuntukkan bagi tahun 2026 dengan RM5.6 bilion atau 58 peratus telah dibelanjakan, manakala 86 projek berjaya disiapkan.

“Sebanyak 1,146 projek pembiayaan Kerajaan Persekutuan turut diluluskan dengan peruntukan RM6 bilion, termasuk 256 projek yang telah siap,” katanya.