KUCHING: Persaingan merebut kerusi pilihan raya tidak boleh disamakan dengan prinsip semak dan imbang dalam sistem pemerintahan kerana kedua-duanya mempunyai fungsi dan tujuan berbeza.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, usaha menghalang sesebuah parti daripada memenangi semua kerusi lebih tepat disebut sebagai ‘semak parti’, bukannya semak dan imbang seperti yang termaktub dalam prinsip pemisahan kuasa.
Menurutnya, konsep semak dan imbang merujuk kepada mekanisme pengawasan antara tiga cabang pemerintahan, iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman, bagi memastikan kuasa tidak tertumpu kepada satu badan tanpa pengawasan.
“Apabila Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyebut semak dan imbang, apa yang dimaksudkan sebenarnya ialah semak parti, iaitu tidak mahu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi semua kerusi,” katanya pada sidang media di DUN Sarawak, hari ini.
Asfia menjelaskan, walaupun pembangkang berperanan mengawasi tindakan kerajaan di dalam dan di luar DUN, persaingan mendapatkan kerusi melalui pilihan raya merupakan proses berbeza yang bergantung kepada keputusan pengundi.
Katanya, prinsip pemisahan kuasa diperuntukkan menerusi Perkara 39, 44 dan 121 Perlembagaan Persekutuan yang masing-masing berkaitan kuasa eksekutif, perundangan serta kehakiman, sekali gus menjadi asas kepada pelaksanaan konsep semak dan imbang dalam pentadbiran negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa perbezaan antara pengawasan kuasa kerajaan dengan persaingan parti politik perlu difahami secara jelas supaya masyarakat tidak terkeliru dengan penggunaan istilah semak dan imbang, khususnya dalam konteks pilihan raya.
