Sibu dirancang jadi hab ekonomi wilayah tengah Sarawak

SIBU: Kerajaan Sarawak merancang pembangunan menyeluruh bandar Sibu, termasuk pembangunan semula Bukit Assek bernilai kira-kira RM2 bilion.

Selain itu, penubuhan Zon Ekonomi Sibu bagi memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi wilayah tengah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu memerlukan pelan induk jangka panjang yang merangkumi pembangunan bandar, kawasan penempatan baharu, infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, pembangunan semula Bukit Assek bukan sahaja bertujuan menangani kesesakan bandar, malah memperbaiki sistem pengurusan air dan mengatasi masalah air bertakung yang boleh meningkatkan risiko penyakit.

Beliau berkata, Sibu juga perlu diperluas dengan membangunkan kawasan pinggir bandar baharu bagi menampung pertambahan penduduk serta menyokong pertumbuhan ekonomi pada masa depan.

Katanya, kawasan di luar Kemuyang berpotensi dijadikan penempatan baharu, selain memanfaatkan rangkaian jalan raya dari Kemuyang hingga ke kawasan belakang Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Dalam pada itu, cadangan penubuhan Zon Ekonomi Sibu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur dan mendapat persetujuan pada prinsipnya daripada Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, Sarawak berharap zon berkenaan diberikan insentif khas termasuk kemudahan cukai yang kompetitif seperti ditawarkan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura bagi menarik pelaburan.

“Bagi memastikan semua perancangan itu dapat dilaksanakan secara terselaras, Kerajaan Sarawak juga akan menubuhkan sebuah agensi khas dengan peruntukan tersendiri untuk mengendalikan pembangunan Sibu.

“Agensi itu akan diberikan kuasa tertentu dan dikendalikan tenaga kerja berpengalaman, dengan model pentadbiran mengambil contoh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Cadangan Pembangunan Terminal Bas Sibu Sentral antara Sibu Sentral Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), hari ini.

Abang Johari berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan Sibu berkembang sebagai pusat perdagangan dan perkhidmatan yang mampu menyokong pembangunan seluruh wilayah tengah Sarawak.