SMK Bukit Goram bakal siap 2030, dilengkapi kemudahan moden dan selesa

KAPIT: Penjimatan kira-kira RM40 juta hasil tender pembinaan SMK Bukit Goram di sini akan dimohon untuk membiayai pembinaan asrama murid dan rumah kediaman guru.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, permohonan menggunakan lebihan peruntukan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan dan, sekiranya perlu, Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan.

“Kita akan mohon supaya penjimatan RM40 juta itu digunakan untuk mendirikan rumah kediaman guru dan asrama murid,” katanya kepada media selepas menyempurnakan penyerahan surat setuju terima dan majlis pecah tanah projek pembinaan SMK Bukit Goram di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kerja Raya, projek bernilai kira-kira RM96.8 juta itu akan dilaksanakan oleh Bangkit Energy & Pro Logistic (EM) Sdn Bhd di tapak seluas 7.189 hektar di Lot 770, Blok 13, Daerah Tanah Menuan, kira-kira tiga kilometer dari Kapit.

Sekolah baharu itu dijadual siap pada 16 Mei 2030 dan akan dilengkapi 36 bilik darjah dengan kapasiti menampung 1,080 murid aliran perdana serta 35 murid berkeperluan pendidikan khas.

Nanta berkata, pembinaan sekolah berkenaan amat penting bagi mengurangkan kesesakan di sekolah menengah sedia ada di Kapit, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa kepada pelajar.

Beliau turut berharap kontraktor dapat melaksanakan projek itu dengan lancar dan menyiapkannya sehingga enam bulan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.