SK Kampung Buda bakal berwajah baharu

SARIBAS: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda bakal menikmati kemudahan pendidikan lebih moden dan selesa menerusi pelaksanaan projek pembinaan baharu serta bangunan tambahan bernilai RM28.5 juta.

Projek pembangunan itu dijangka membawa perubahan besar kepada persekitaran sekolah, sekali gus meningkatkan keselesaan murid dan guru serta menyokong keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam, hari ini menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan sebagai simbolik bermulanya pelaksanaan pembangunan tersebut.

Beliau yang juga penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas berkata, pembangunan infrastruktur pendidikan yang lengkap amat penting bagi memastikan murid mendapat persekitaran pembelajaran lebih baik dan kondusif.

Katanya, penyediaan kemudahan sekolah yang berkualiti bukan sahaja memberi keselesaan kepada warga sekolah, malah membantu memperkukuh mutu penyampaian pendidikan di kawasan berkenaan.

Projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu membabitkan kos kontrak RM28,499,801.50 dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan, bermula 28 September 2026 hingga 27 September 2028.

Skop pembangunan merangkumi kerja pengubahsuaian, naik taraf bangunan prasekolah dan pejabat pentadbiran sedia ada, selain pembinaan blok pentadbiran, blok akademik serta kantin baharu.

Lebih menarik, projek itu turut menyediakan tujuh unit kuarters guru, kemudahan tandas serta infrastruktur yang mematuhi piawaian mesra orang kurang upaya (OKU).

Setakat 25 Oktober lalu, kemajuan fizikal projek direkodkan sebanyak 0.51 peratus melibatkan kerja pembersihan tapak, penandaan kawasan pembinaan dan kerja tanah.

Apabila siap kelak, pembangunan bernilai RM28.5 juta itu dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kemudahan pendidikan serta kesejahteraan komuniti setempat di Saribas.