Abang Johari beri bayangan Dr Annuar kekal calon GPS DUN Nangka

SIBU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee berkemungkinan dicalonkan semula oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan tersebut ketika ditanya mengenai calon GPS bagi kerusi berkenaan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Al-Hidayah Kemuyang di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa senarai rasmi calon GPS hanya akan diumumkan pada 25 November ini.

“Kita belum sahkan lagi. Saya akan sahkan pada 25 November kelak. Untuk Nangka, kemungkinan kita akan letakkan Datuk Dr Annuar,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Baharu Kemuyang, Masjid Al-Hidayah, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pemilihan calon, Abang Johari berkata, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus memberi peluang kepada golongan muda sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan barisan kepimpinan pelapis.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan parti serta pentadbiran negeri pada masa depan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atas keputusan tidak meletakkan calon pada PRU DUN Sarawak ke-13.

Katanya, keputusan tersebut mencerminkan kematangan politik yang dapat membantu mengekalkan kestabilan dan keharmonian politik di Sarawak.