Jambatan Sejingkat buka peluang pembangunan baharu

KUCHING: Pembukaan Jambatan Sejingkat bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitar, termasuk pembinaan jalan raya baharu, kawasan perumahan serta peningkatan kegiatan ekonomi penduduk.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan turut merancang pembinaan jalan baharu menghubungkan Bako dengan Buntal serta laluan tambahan menuju ke Darul Hana.

Menurutnya, pembangunan jaringan jalan raya tersebut akan meningkatkan hubungan antara kawasan pesisir dengan bandar raya Kuching, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan.

“Kampung Sejingkat lama-kelamaan akan menjadi bandar.

“Ini kerana jumlah pengguna jalan raya akan bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat di sini, malam ini.

Abang Johari berkata, jambatan berkenaan juga memudahkan pergerakan penduduk antara Kuching dan Kota Samarahan.

Tambahnya, ini termasuk akses ke institusi penting seperti Pusat Jantung Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Samarahan.

Selain itu, jelasnya, pembinaan jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk memperluas jaringan perhubungan ke kawasan pesisir Sarawak.

“Pembangunan infrastruktur itu bukan sahaja memendekkan perjalanan.

“Malah, ia membuka peluang kepada penduduk menjalankan kegiatan ekonomi dengan lebih meluas,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Jambatan Sejingkat, seperti jambatan lain yang dibangunkan Kerajaan Sarawak, tidak mengenakan bayaran tol kepada pengguna.

Katanya, kemudahan tersebut disediakan bagi memastikan rakyat dapat menikmati sistem perhubungan yang lebih baik tanpa dibebankan dengan kos tambahan.

Abang Johari berkata, pembangunan Jambatan Sejingkat juga dijangka mengubah landskap kawasan perkampungan sekitarnya yang sebelum ini banyak bergantung kepada pengangkutan air.

Beliau turut yakin jaringan jalan raya yang semakin lengkap akan mempercepat pertumbuhan kawasan berkenaan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, anak Premier Sarawak, Dayang Norjihan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Cassidy Morris,Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Negeri hadir sama. – NORAIDA ABDUL KASIM/ JIWA BAKTI