RM4.3 juta naik taraf jalan ladang

KABONG: Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) fasa pertama meluluskan peruntukan sejumlah RM4.3 juta untuk menaik taraf jalan ladang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, untuk fasa satu, sebanyak lapan projek naik taraf jalan ladang diserahkan kepada kontraktor yang dilantik.

Antara projek yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ialah naik taraf jalan ladang Ulu Sungai Chinco dekat Nyabor, jalan ladang Tanjung Binyuk dekat Kabong, jalan ladang Block 008 Kalaka Land Alit, jalan ladang Sungai Tajo Tanjung Emplam Kabong, katanya pada Majlis Ringkas Penyerahan Projek kepada kontraktor terlibat di sini.

Turut dilaksanakan, katanya, ialah jalan Ladang Skim 15 Alit, jalan ladang Sungai Muroh Kabong, jalan ladang Rumah Abing (Site A) Pangey dan jalan ladang Rumah Abing (Site B) Pangey.

Hadir sama Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Petrus Kang, Pegawai Pertanian (Pembangunan), Slys Elly Sumbang, Penolong Pegawai Pertanian Menguasa Daerah Saratok, Duat Gayok, Penolong Pegawai Pertanian Menguasa Daerah Kabong, Sapini Lubor dan Penolong Pegawai Tadbir Bahagian Perancangan Dan Pemantauan Projek Bagi Kawasan DUN Kabong, Stanley Igat Unchi.