MALUDAM: Sebanyak empat projek Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) berimpak tinggi dijangka mula dilaksanakan di Kampung Maludam di sini tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, projek tersebut ialah tebatan banjir Maludam-Triso, projek pembinaan sistem saliran dan perparitan di dalam perkampungan Maludam-Triso, projek pembinaan Dataran Kebudayaan Maludam dan projek pembinaan kawasan rehat dan rawat (R&R) fasa satu.
“Projek itu membabitkan kos sebanyak RM40 juta dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID),” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Maludam dan Triso di Pejabat Daerah Kecil Maludam, di sini.
Dayang Noorazah berkata, ia mengambil masa untuk disiapkan, namun diberi keutamaan disebabkan penduduk Maludam mengalami banjir hingga merosakkan tanaman dan kediaman mereka setiap tahun.
Menyentuh mengenai pembinaan jambatan Kampung Seberang Maludam, Dayang Noorazah menjelaskan, ia memerlukan pembinaan semula dan dianggarkan memerlukan peruntukan RM1.2 juta.