Projek KUTS memodenkan sistem pengangkutan

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM900 juta untuk memoden dan mentransformasikan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kos bagi membiayai KUTS itu menggunakan Pembiayaan Alternatif.

“Hubungan antara kawasan luar bandar dan bandar akan dipertingkatkan dengan membaiki sistem kesalinghubungan dan pergerakan untuk menyatukan pertumbuhan ekonomi,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2024 Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Beliau berkata, untuk memoden dan mentransformasikan sistem pengangkutan bandar, kerajaan akan melaksanakan projek KUTS.

Pelaksanaan fasa satu KUTS merangkumi pembangunan tiga Rangkaian Transit Ringan Autonomi (ART).

Operasi KUTS fasa satu itu akan disokong oleh perkhidmatan bas Hidrogen untuk menyediakan sistem kesalinghubungan yang pantas, katanya.

Abang Johari menegaskan, kerajaan mencapai satu kejayaan besar apabila Kejuruteraan Kenderaan Hidrogen ART Prototaip dilaksanakan pada September 2023 di Isthmus, Kuching dan disusuli dengan kebolehan laluan di Samarahan.

Perjalanan ke Sarawak itu, katanya, adalah untuk memperoleh data pencapaian ART dan menunjukkan keupayaan ART kepada orang ramai.

Selain itu, katanya, kerajaan turut berusaha membaiki dan meningkatkan sistem pengangkutan awam di Miri dengan melaksanakan bas pintar membabitkan kos RM5 juta untuk kemudahan rakyat.