KUCHING: Jaguh angkat berat para negara kelahiran Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin berjaya meraih pingat emas pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, Jepun.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Bonnie mengungguli acara powerlifting kategori lelaki 72 kilogram (kg) selepas mencatat angkatan seberat 225 kg.
“Kejayaan itu menggembirakan dan membanggakan Sarawak.
“Kejayaan beliau membuktikan keupayaan atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) Sarawak untuk terus menyerlah pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa penyerahan geran NGO kepada Persatuan Pembangunan Kemahiran OKU (SOSDA) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau menambah, Kerajaan Sarawak sentiasa komited memperkasakan atlet para melalui pembangunan bakat dan latihan bagi memastikan mereka mampu bersaing pada peringkat tertinggi.
Dalam perkembangan lain, Kerajaan Sarawak ujarnya, terus memperkasakan kemahiran OKU sebagai persediaan menyertai pertandingan kemahiran antarabangsa Abilympics 2027 di Finland.
“Usaha itu bertujuan mencungkil bakat serta meningkatkan keupayaan OKU untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Empat bidang kemahiran dikenal pasti iaitu gubahan bunga, rekaan poster, refleksologi dan fotografi,” katanya.
Latihan kemahiran ini penting bagi membantu golongan OKU menjana pendapatan dan menjalani kehidupan secara berdikari,tegasnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam dan Setiausaha Tetap JKM Sarawak Nur Alina Abdullah.
