KUCHING: Penubuhan jawatankuasa penasihat yang menghimpunkan ahli sejarah dan wakil masyarakat wajar dipertimbangkan bagi memperkukuhkan usaha mendokumentasikan, memelihara serta mewariskan khazanah sejarah Sarawak untuk generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, penglibatan golongan berkenaan penting bagi memastikan sejarah negeri direkodkan secara menyeluruh, termasuk sumbangan tokoh terdahulu dan peristiwa bersejarah yang membentuk identiti Sarawak.
Katanya, kerjasama lebih erat dengan pihak sekolah, ketua kaum dan ketua masyarakat juga perlu diperkasakan bagi mengumpul sejarah lisan serta memperluaskan program pendokumentasian warisan ke semua bahagian di negeri ini.
“Cadangan mewujudkan arkib memorial turut mendapat perhatian kerana berupaya mengabadikan jasa bekas pemimpin, tokoh penting serta peristiwa yang memainkan peranan dalam pembangunan Sarawak, termasuk sejarah masyarakat di Sri Aman dan Perjanjian Damai 1973.
“Saya melihat pindaan Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak 2026 sebagai langkah memperkemaskan pengurusan arkib dan rekod awam.
“Di samping itu, menjamin pemeliharaan dokumen rasmi serta bahan sejarah melalui tadbir urus yang lebih teratur dan berpandukan peruntukan undang-undang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, semalam.
Dayang Noorazah berkata, usaha menjaga khazanah negeri mempunyai sejarah panjang sejak 1961, apabila penerbitan diwajibkan untuk diserahkan kepada Muzium Sarawak
Katanya, ini diikuti penubuhan Pustaka Negeri Sarawak pada 1999 dan peluasan tanggungjawabnya kepada pengurusan arkib serta rekod awam pada 2009.
“Saya juga ingin menggesa akses digital dipertingkatkan melalui kemudahan seperti Sarawak Kiana Digital Collection, perkhidmatan arkib RECAS dan Pustaka in a Box supaya masyarakat luar bandar, termasuk penduduk Lingga, dapat meneroka bahan sejarah dengan lebih mudah,” tambahnya.
