KUCHING: Inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Dua akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah internet yang sering terputus di kawasan Simunjan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti tapak-tapak bersesuaian bagi pelaksanaan inisiatif itu di Sarawak termasuk di kawasan Simunjan.
“Kumpulan pertama JENDELA fasa kedua dijadual dilaksanakan dalam suku pertama tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Awla Dris (GPS-Simunjan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri( DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Awla dalam soalannya meminta status kelulusan JENDELA fasa kedua bagi N.25 Simunjan, khususnya Kampung Sageng Hulu hingga Kampung Tebuan, dan bolehkah pelaksanaannya dipercepatkan.
Ini memandangkan penduduk masih menghadapi masalah internet sering terputus serta ketiadaan liputan telekomunikasi di sesetengah kawasan itu.
