Kerajaan Sarawak agihkan RM20 juta kepada 129 sekolah mubaligh

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyalurkan bantuan berjumlah RM20 juta kepada 129 sekolah mubaligh di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bantuan tersebut bagi menaik taraf kemudahan dan infrastruktur pendidikan.

Menurutnya, bantuan itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM30 juta yang diluluskan Kerajaan Sarawak untuk sekolah mubaligh tahun ini.

“Manakala, baki RM10 juta akan digunakan bagi melaksanakan program peningkatan prestasi akademik pelajar, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Program ini turut memberi penekanan kepada penguasaan Bahasa Inggeris, Matematik serta kemahiran asas membaca dan menulis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek bantuan UNIFOR kepada sekolah mubaligh, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Antara yang menerima adalah Anglican, Diocese of Kuching, Roman Catholic, Archdiocese of Kuching, Roman Catholic, Diocese of Miri, Methodist, Sarawak Iban Annual Conference (SIAC) dan Methodist, Sarawak Chinese Annual Conference (SCAC).

Justeru, katanya kerajaan mahu memastikan pelajar sekolah mubaligh mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kemudahan pendidikan tinggi percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak.

Dalam masa sama, Douglas menegaskan, peningkatan prestasi akademik penting bagi memastikan pelajar memenuhi syarat kelayakan untuk melanjutkan pengajian menerusi inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak.

“Pengagihan bantuan kepada sekolah mubaligh ditentukan oleh jawatankuasa yang ditubuhkan bersama pihak sekolah.

“Ini bagi memastikan peruntukan diagihkan secara adil dan mengikut keperluan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM90 juta bagi membantu pembinaan, penyelenggaraan dan menaik taraf rumah ibadat bukan Islam tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM34 juta telah diagihkan, manakala RM25 juta lagi akan disalurkan dalam pengagihan seterusnya.