KUCHING: Kerajaan Sarawak menyediakan Pelan Induk bagi penyusunan semula dan penaiktarafan Mahkamah Bumiputera bagi memastikan pentadbiran undang-undang adat lebih adil dan profesional.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap masa depan keadilan adat di Sarawak.
“Undang-undang adat mesti terus dihormati dan relevan dalam Sarawak moden, dengan pentadbiran yang adil, profesional, mudah diakses serta mampu menangani cabaran semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kedua Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sempena Persidangan Antarabangsa Memperluas Horizon Pluralisme Undang-Undang, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kajian menyeluruh dijalankan bagi meneliti struktur, organisasi, operasi, pengurusan, bidang kuasa serta kerangka perundangan Mahkamah Bumiputera.
Menurutnya, pembaharuan itu perlu dilaksanakan secara teliti supaya pemodenan pentadbiran undang-undang adat tidak memisahkannya daripada komuniti asal yang mengamalkannya.
“Matlamat kita ialah membina institusi yang diyakini, dengan proses yang jelas dan profesional, supaya setiap kes dikendalikan secara adil serta undang-undang adat menerima pengiktirafan sewajarnya,” tambahnya.
Tambahnya, pengetahuan masyarakat peribumi berkaitan dengan kelestarian, pemuliharaan biodiversiti, tanah adat dan pengurusan sumber semula jadi perlu terus diiktiraf dalam agenda pembangunan Sarawak.
Persidangan itu turut melibatkan peserta dari Kanada, New Zealand, Jepun dan Brazil bagi berkongsi pengalaman berkaitan hak masyarakat peribumi, undang-undang adat serta hubungannya dengan sistem perundangan moden.
Menurutnya, perbincangan selama dua hari itu diharap menghasilkan cadangan praktikal bagi meningkatkan akses kepada keadilan, memelihara adat dan memastikan komuniti peribumi terlibat dalam membentuk institusi yang mempengaruhi hak serta masa depan mereka.
