LINGGA: Lingga berpotensi menjadi hab makanan di Sarawak dalam usaha mengukuhkan ekonomi dan keselamatan makanan di negeri ini.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, ia dapat direalisasikan dengan siapnya Laluan Utama Kedua dan Lebuh Raya Pan Borneo, ia bakal menghubungkan Lingga dengan bandar lain sekali gus menjurus kepada pelbagai potensi dalam pembangunan pertanian.
“Lebih-lebih lagi kerana Lingga merupakan salah sebuah kawasan penanaman padi utama melalui pelaksanaan program seperti Smart Sawah Berskala Besar,” katanya.
Beliau berkata demilian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Rasmi Regata Lingga 2023 bertempat di Astaka Utama Waterfront Lingga yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di sini, hari ini.
Tambah Shafizan lagi, dalam ucapan Belanjawan 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut mengumumkan sasaran penghasilan sebanyak 240,000 metrik tan beras melalui projek rintis penanaman benih padi hibrid dari Vietnam.
“Dan salah satu kawasan yang terlibat adalah di Tanjung Bijat. Justeru, dengan adanya potensi dalam aktiviti pelancongan dan pertanian, Lingga mampu membangun sebagai sebuah destinasi pelancongan dan hab pertanian utama di kawasan ini,” katanya.
