KUCHING: Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kerajaan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pelaksanaan projek Bandar Pintar Kuching dan Kesalinghubungan Digital.
Menurut kenyataan MCMC, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil menyaksikan majlis pertukaran dokumen MoU tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) memeterai Mou terbabit.
“Majlis pertukaran dokumen MoU itu diwakili Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Tetap MPHLG, Datu Elizabeth Loh,” menurut MCMC.
Projek itu bertujuan memperluaskan
kesalinghubungan digital dan menyokong transformasi perkhidmatan bandar di kawasan Greater Kuching merangkumi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
“Antara skop kerjasama yang dikenal pasti meliputi pembangunan perkhidmatan bandar pintar berasaskan AI dan data, platform bandar bersepadu serta pengukuhan infrastruktur rangkaian teras bagi menyokong penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih cekap, selamat dan responsif,” tambah MCMC.
Skop ini turut merangkumi pemantauan keselamatan bandar, sokongan tindak balas kecemasan, penyediaan Wi-Fi awam, penggunaan teknologi kembar digital (digital twin) dan pembangunan Pusat Operasi Rangkaian
(NOC).
Pelaksanaan projek ini juga akan mengambil kira aspek keterangkuman, keselamatan siber, perlindungan data dan tadbir urus yang bertanggungjawab.
