Pembangunan semula Telaga Air bermula tahun depan

TELAGA AIR: Kawasan Telaga Air akan dibangun semula bagi merancakkan potensinya sebagai kawasan pelancongan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selain perancangan pembesaran tebingan sungainya, Telaga Air juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan riadah untuk menjadikan kawasan itu sebagai tarikan pelancong.

Katanya, dengan pembinaan sebuah jalan raya baharu yang akan dihubungkan terus ke Telaga Air akan mengangkat lagi potensi kawasan itu sebagai pusat riadah dan pusat sukan air.

“Kita akan mula pembangunan ini dari tahun depan, mungkin dalam masa tiga hingga empat tahun akan siap.

“Di sini (Telaga Air) menjadi pusat riadah, pusat sukan air dan akan mengembangkan ekonomi dalaman kita termasuk dari sudut gastronomi yang akan kita laksanakan di kawasan ini,” katanya semasa merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Regata Telaga Air di Tebingan Sungai Telaga Air hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato’ Sri Nancy Shukri serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Terdahulu, Nancy dalam ucapan aluannya berkata, Pesta Telaga Air merupakan pesta anjuran MPP dan komuniti Telaga Air yang sebelum ini telah diadakan setiap tahun dengan kali terakhir dilangsungkan pada 2019.

Menurutnya, pada Ke-17, Pesta Regata Telaga Air telah dijenamakan semula dengan keterlibatan aktiviti sukan lumba perahu.

GAMBAR: PEJABAT PREMIER SARAWAK