Pindaan Ordinan Perpustakaan Sarawak perkukuhkan pemeliharaan sejarah, warisan

KUCHING: Pindaan Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak dijangka memperkukuhkan usaha memelihara sejarah dan warisan negeri menerusi penubuhan arkib memorial serta pendigitalan bahan sejarah untuk manfaat generasi akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, sejarah Sarawak bukan sahaja terkandung dalam buku teks atau kisah tokoh dan peristiwa besar, malah turut tersimpan dalam dokumen lama, gambar, manuskrip, rakaman audio dan video serta cerita masyarakat.

Katanya, kepelbagaian etnik di Sarawak dengan keunikan budaya, bahasa, pakaian, makanan dan adat resam masing-masing perlu didokumentasikan serta dipelihara secara sistematik agar tidak hilang ditelan zaman.

“Jika bahan-bahan ini tidak dikumpul dan dipelihara secara sistematik, kita berisiko kehilangan sebahagian daripada sejarah penting wilayah ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, penubuhan arkib memorial berpotensi menjadi pusat pendidikan dan penyelidikan yang menyediakan sumber rujukan kepada pelajar, guru, ahli akademik serta masyarakat umum untuk memahami perkembangan sejarah Sarawak dengan lebih mendalam.

Royston turut berharap pengumpulan bahan sejarah merangkumi seluruh bahagian dan daerah di Sarawak, termasuk sejarah kampung, bandar, institusi, komuniti dan tokoh tempatan, selain perkembangan demografi, ekonomi, pendidikan, infrastruktur serta kehidupan sosial masyarakat.

Katanya, pelaksanaan pindaan itu juga perlu memberi penekanan kepada pendigitalan bahan arkib bagi memastikan khazanah sejarah dapat dipelihara dengan lebih selamat dan diakses masyarakat secara lebih meluas, termasuk mengambil kira hak cipta, privasi dan keselamatan bahan.

“Arkib Sarawak perlu bergerak ke arah sistem yang moden, mudah dicapai dan mesra pengguna, khususnya bagi memenuhi keperluan generasi muda yang banyak mendapatkan maklumat melalui platform digital,” ujarnya.

Royston berkata, pindaan berkenaan turut memperjelas pembahagian kuasa dan tanggungjawab antara Menteri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Lembaga dan Kerajaan bagi mengurangkan kekeliruan serta pertindihan kuasa dalam pentadbiran Perpustakaan Negeri Sarawak.