RM25,000 untuk pembangunan sukan komuniti di Demak Laut

KUCHING: Aktiviti sukan komuniti di Taman Sepakat Jaya terus mendapat sokongan apabila Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Haji Hipni menyalurkan sumbangan berjumlah RM25,000 kepada dua kelab sukan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.

Sumbangan tersebut diumumkan oleh Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.5 Demak Laut sempena Majlis Perasmian dan Penangguhan Pertandingan Pickleball, Street Soccer dan Sepak Takraw yang berlangsung di Dewan Taman Sepakat Jaya, pada petang Ahad.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM20,000 untuk Kelab Pickleball Demak Laut, manakala RM5,000 lagi diperuntukkan kepada Kelab Silat Selendang Abadi Taman Sepakat Jaya.

Pertandingan Pickleball dianjurkan bersama oleh KJM Taman Sepakat Jaya, Pine Villa dan Kelab Pickleball Demak Laut, manakala Pertandingan Street Soccer dan Sepak Takraw dianjurkan oleh SEBERKAS Taman Sepakat Jaya.

Program yang bermula pada jam 8 pagi itu menghimpunkan komuniti menerusi aktiviti sukan yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Turut hadir ialah barisan ketua kaum dan ketua masyarakat kawasan Demak Laut serta wakil pegawai Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Penganjuran program ini diharap dapat diteruskan memperkukuhkan perpaduan serta membangunkan potensi sukan di peringkat komuniti dan menjauhkan penduduk daripada gejala negatif.