KUCHING: Program Sarawakku Sayang 2026 merekodkan jualan sebanyak RM2.4 juta oleh usahawan tempatan menerusi penyertaan di lapan bahagian Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, program itu turut menarik lebih 540,000 pengunjung menerusi pelaksanaannya di Limbang, Miri, Bintulu, Kapit, Sibu, Sarikei, Betong dan Mukah.
“Program ini bukan sekadar menghimpunkan pelbagai agensi untuk menyampaikan perkhidmatan secara terus kepada rakyat malah membuka peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan melalui jualan makanan, kraftangan dan produk tempatan,” katanya semasa menggulung perbahasan pada persidangan DUN, di sini, hari ini.
Program itu menghimpunkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebajikan serta digital.
Menurut beliau, pendekatan turun padang membolehkan kerajaan mendengar keperluan rakyat dan mengenal pasti permasalahan masyarakat secara langsung.
“Inilah pendekatan tulen pentadbiran Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu kerajaan sendiri turun padang mendekati rakyat untuk memahami isi hati dan keperluan mereka,” tambahnya.
Pendekatan itu turut membantu mempercepatkan penyampaian perkhidmatan serta memastikan permasalahan masyarakat dikenal pasti dengan lebih berkesan.
Abang Johari sehubungan itu menggesa rakyat Sarawak terus memelihara keamanan dan perpaduan serta tidak membiarkan negeri itu dipecahbelahkan oleh anasir luar.
