SIMANGGANG: Seramai 13 penduduk Kampung Lemanak berjaya mengkhatamkan al-Quran dalam Majlis Khatam al-Quran Veteran Kampung Lemanak di Surau Hayatul Islam Kampung Lemanak, di sini, hari ini.
Sebelum majlis bermula, peserta khatam yang diketuai Ketua Kaum Kampung Lemanak, Jamali Hamden, diarak mengelilingi kampung sebagai simbol kesyukuran dan penghargaan atas kejayaan menamatkan bacaan al-Quran sebelum perarakan berakhir di surau berkenaan.
Peserta terdiri daripada golongan veteran berusia antara 45 hingga lebih 60 tahun, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri dengan al-Quran.
Menurut Jamali, program mengaji al-Quran itu dimulakan sejak enam bulan lalu hasil kesepakatan dan semangat peserta untuk memperbaiki bacaan serta mempelajari al-Quran dengan lebih mendalam.
“Pada peringkat awal, ada dalam kalangan peserta yang masih belum mahir membaca al-Quran. Namun, dengan usaha berterusan, kesungguhan serta bimbingan yang diberikan, kami akhirnya berjaya menamatkan bacaan sehingga khatam,” katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan bacaan doa kesyukuran serta penyampaian cenderamata kepada peserta khatam.
Turut memeriahkan majlis ialah kehadiran Team Muslimah Berqasidah dan Berselawat Dalailul Khairat yang diketuai Talhah Abdul Karim, yang memperdengarkan alunan selawat, zikir dan tahlil.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Surau Hayatul Islam Kampung Lemanak, Abdul Rahman Muhyiddin.
