145,825 bayi didaftarkan untuk Endowment Fund Sarawak

KUCHING: Sejak 2019, seramai 145,825 orang bayi sudah didaftarkan untuk Endowment Fund Sarawak yang berjumlah RM1,000 dan hanya boleh dikeluarkan bila kanak-kanak mencapai umur 18 tahun.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdul berkata, untuk bantuan ibu bersalin, sejak 2020, seramai 77,571 orang ibu bersalin yang layak telah menerima bantuan yang berjumlah RM450.

Kedua-dua bantuan itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Kerajaan Sarawak (IKS) dalam mensejahterakan rakyat dan melaksana dasar masyarakat inklusif, katanya pada majlis perasmian Sambutan Hari Kesejahteraan Bersama Sarawak Tahun 2023 yang disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar di sini.

Sambutan Hari Kesejahteraan Bersama Sarawak 2023 itu menggabungkan sambutan Hari Keluarga, Hari Kanak-kanak, Hari Warga Emas dan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU).

Fatimah berkata, bagi IKS untuk warga emas, sehingga 31 Oktober, 2023, seramai 269,777 warga emas sudah didaftarkan sebagai pemegang Kenyalang Gold Card (KGC) untuk menikmati keistimewaan yang ditawarkan oleh 470 rakan strategic KGC.

Katanya, seramai 20,512 orang sedang menerima bantuan kebajikan warga emas dengan kadar RM500 sebulan tanpa perlu dikaji semula dan seramai 48,662 OKU di bawah tujuh kategori ketidakupayaan telah didaftarkan.

Dengan tujuan menyediakan dianogsis, terapi, pendidikan, latihan vokasional, program bengkel dan kemudahan fasiliti yang komprehensif untuk komuniti berkeperluan khas di negeri ini, beliau berkata, Kerajan Sarawak memperuntukkan RM50 juta untuk menyedia sebuah Pusat Pemulihan di Samarahan yang dijangka siap pada 2026.