152 projek RTP DUN Kabong dilulus

KUCHING: Sejumlah 152 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) diluluskan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong sehingga 3 November 2023.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato Gerawat Gala berkata, projek terbabit dengan jumlah siling sebanyak RM36.48 juta.

““Daripada 152 projek itu, lapan (5.3 peratus) projek berstatus Belum Mula (BM), 13 (8.6 peratus) projek berstatus dalam perancangan (DPr), 26 (17.1 peratus) projek berstatus dalam pelaksanaan manakala selebihnya iaitu 105 (69.1 peratus) projek Sudah Siap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara sebab 21 projek di DUN Kabong belum dilaksanakan adalah kerana dalam proses pindaan projek (notis perubahan); proses pertapakan; proses penyediaan dokumen/reka bentuk; dan proses cabutan undi.

“Bagi memastikan projek-projek tersebut siap mengikut jadual antara tindakan yang akan diambil ialah mempercepatkan proses permohonan notis perubahan untuk pindaan projek,” tambahnya.

Selain itu, mengadakan penyelarasan dengan lebih kerap antara Pejabat Residen, ADUN, agensi pelaksana dan agensi berkaitan serta penduduk setempat.