SERIAN: Sebanyak 1,848 surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) diserahkan kepada seramai 1,520 penerima dari komuniti kaum Bidayuh hari ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyampaikan surat hak milik tanah di Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah, Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN Bahagian Serian dan Kuching, di Serian Conference Centre di sini, hari ini.
Seramai 386 penerima terbabit dari Kampung Pichin yang menerima 616 surat hak milik tanah itu, diikuti Kampung Beradau (352 penerima/493 surat hak milik tanah), Kampung Engkeroh (85 penerima/82 surat hak milik tanah), Kampung Plaman Nyabet ( 179 penerima/257 surat hak milik tanah), Kampung Merian Bedup (203 penerima/ 285 surat hak milik tanah), Kampung Tarat (133 penerima/157 surat hak milik tanah), Kampung Murud Plaman (56 penerima/66 surat hak milik tanah) dan Kampung Plaman Bantang (126 penerima/ 177 surat hak milik tanah).
Sementara itu, Awang Tengah berkata kerajaan mewartakan Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN melibatkan 12 lokaliti dengan jumlah 12,370.232 hektar dan 36 kampung Bidayuh.
Ini termasuk Kampung Tebakang Dayak, Kpg Semuja, Kampung Seniawan, Kampung Terbat, Kampung Igom, Kampung Belimbing, Kampung Tabuan Rabak, Kampung Seratau, Kampung Semeru, Kampung Emperoh Gerung dan Kampung Danu.
“Selepas pewartaan Seksyen 6, peringkat kedua iaitu penyukatan lot individu dan pengeluaran Surat Hak Milik Seksyen 18 KTN sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, sehingga 30 September 2025, sebanyak 105,344 lot individu telah diukur melibatkan 125,703 hektar (310,618 ekar); dan 34,122 lot telah dikeluarkan surat hak milik meliputi 47,443 hektar (117,234 ekar).
“Ini termasuk Surat Hak milik Tanah Seksyen 18 KTN yang akan diserahkan pada hari ini,” tambahnya.