2,000 hadiri perarakan sempena Sambutan Maulidir Rasul peringkat Gedong

GEDONG: Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.26 Gedong Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai kira-kira 2,000 penduduk Gedong dalam perarakan kontinjen sempena Sambutan Maulidir Rasul peringkat Daerah Gedong di sini hari ini.

Sebanyak 19 kontinjen yang mewakili semua surau dan masjid di kawasan Gedong termasuk Kampung Gumpey dan mereka yang datang dari Zon Pangkor dan Ulu Gedong.

Sepanjang perarakan yang bermula pada jam 7.30 pagi dengan jarak dua kilometer (km) dari persimpangan Jambatan Gedong-Simunjan hingga ke Dewan Datuk Patinggi Ali itu,Datuk Patinggi Abang Johari melalui beberapa pintu gerbang yang dibina berhampiran dengan surau di setiap kampung.

Antara kampung yang telah dilalui Datuk Patinggi Abang Johari ialah Kampung Kanchong dengan suraunya yang bernama Darul Madinah, Kampung Segera Jaya (Nurul Islam), Kampung Tengah Ulu (Darul Islam), Kampung Tengah Lama (Assobirin) Kampung Tengah Hilir (Surau Nur Addin) dan Kampung Perintah-Masjid (Masjid Al-Kawthar).

Kontinjen berkenaan tiba di Dewan Datuk Patinggi Ali kira-kira jam 8.45 pagi di mana acara kemuncak SMR peringkat Daerah Gedong diadakan.

Sepanjang perarakan itu, Abang Johari diiringi Wakil Khas Premier Sarawak di DUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong, Rodiyah Sapiee serta beberapa ketua masyarakat di Daerah Gedong.

Sambutan Maulidur Rasul di Gedong adalah unik kerana ia diraikan 13 hingga 17 September lalu dengan pelbagai acara pertandingan yang bercorakkan keislaman berpusat di Dewan Datuk Patinggi Ali pada setiap malam.

Antara pertandingan yang diadakan ialah Tilawah Al-Quran, Zikir Marhaban, Nasyid, Bacaan Rawi, Hafazan dan Berkhutbah.