2026 fasa penting menuju wilayah maju

KUCHING: Tahun 2026 menandakan fasa penting dalam usaha menuju wilayah maju 2030, dengan fokus kepada ekonomi berimpak tinggi dan pembangunan infrastruktur untuk masa hadapan, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, tahun 2026 juga membawa sinar baharu dengan pengoperasian AirBorneo, yang akan meningkatkan kesalinghubungan udara serta merancakkan pelancongan, perdagangan dan mobiliti rakyat.

Perpaduan rakyat kekal menjadi kekuatan utama Sarawak, katanya sempena menyambut Tahun Baharu 2026 di sini.

Premier Sarawak yang merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan seluruh rakyat Sarawak atas kerjasama sepanjang 2025, berharap semangat itu diteruskan pada 2026 dengan tekad yang lebih besar.

Kemajuan boleh dibina dengan teknologi dan modal, tetapi kekuatan sebenar Sarawak terbina daripada hati rakyatnya yang bersatu, tegas beliau.

Beliau menggesa semua rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama, supaya terus memelihara keharmonian dan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan Sarawak.

Sepanjang 2025, Sarawak menyaksikan kemajuan yang jelas dalam pembangunan sosioekonomi yang membawa kesejahteraan kepada rakyat, katanya dan menambah, perjalanan itu tidak berakhir di sini dan tahun 2026 menjanjikan lebih banyak peluang dan pembangunan yang akan direalisasikan bersama.

Kerajaan Sarawak, tegas Abang Johari akan meneruskan pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dengan peruntukan yang lebih tinggi, iaitu RM640 juta pada tahun 2026, demi memastikan kesejahteraan isi rumah terus terpelihara.

Sarawak, tambahnya, kekal komited memelihara hutan, sungai dan biodiversiti serta memperkukuh pembangunan tenaga bersih bagi memastikan kelestarian alam kekal untuk generasi akan datang.