29,177 murid Tahun 6 duduki Ujian Penilaian DLP Sarawak

MUKAH: Seramai 29,177 murid Tahun 6 di seluruh Sarawak menduduki Ujian Penilaian ‘Dual Language Programme’ Sarawak Tahun 6 (UP-DLPS 6) mulai hari ini hingga 16 Oktober 2025.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ujian yang dijalankan serentak di seluruh Sarawak merupakan inisiatif pertama Kerajaan Sarawak selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Hari ini merupakan hari yang bersejarah bukan sahaja untuk Kerajaan Sarawak, tetapi juga untuk seluruh pelajar dan warga pendidik.

“Kita telah berjaya melaksanakan satu ujian setara di seluruh negeri Sarawak yang melibatkan pelajar Tahun 6 selepas UPSR dimansuhkan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Ujian Penilaian DLP di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian dan SK Kampung Petanak di sini hari ini.

Menurutnya, ujian tersebut mempunyai tiga matlamat utama iaitu menilai kemajuan pelaksanaan ‘Dual Language Programme’ (DLP) yang telah masuk tahun keenam, mengenal pasti prestasi sekolah untuk penambahbaikan serta menjadi syarat kemasukan ke Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak.

Dalam lawatan tersebut, Dr Annuar turut berkesempatan meninjau bangunan baharu SK Kampung Petanak bagi melihat sendiri kemudahan yang disediakan untuk keselesaan murid dan guru di sekolah berkenaan.