KOTA SAMARAHAN: Teh Orkid Sarawak, produk inovasi pertama berasaskan orkid tempatan hasil usaha masyarakat setempat dilancarkan, di sini, hari ini.
Pelancaran disempurnakan oleh Penaung Persatuan Orkid Sarawak (SARORSO), Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari sempena Majlis Pelancaran Projek Komuniti Pemuliharaan Orkid SARORSO Cawangan Kota Samarahan di SABAKI Farm, Tanjung Tuang.
Dalam ucapannya, Dayang Norjihan menzahirkan rasa bangga terhadap usaha sukarela pelbagai lapisan masyarakat termasuk ibu-ibu, pesara, pelajar dan pengusaha kecil yang bersama menjayakan projek komuniti berasaskan orkid ini.
Beliau menegaskan, pelancaran Teh Orkid Sarawak bukan sekadar inovasi produk, tetapi simbol pembangunan komuniti yang berpaksikan ilmu, kepimpinan dan kelestarian.
“Teh Orkid Sarawak ini adalah hasil tangan komuniti kita sendiri yang tanpa kafein, tanpa pewarna tiruan dan dihasilkan sepenuhnya oleh wanita tempatan di bawah bimbingan SARORSO.
“Saya percaya produk ini mampu menjadi teh rasmi warisan negeri Sarawak, lambang inovasi dan ketahanan komuniti kita,” katanya.
Produk Teh Orkid Sarawak dihasilkan daripada dua spesies orkid tempatan iaitu Arundina graminifolia (Orkid Buluh) dan Dendrobium crumenatum yang melalui proses pemprosesan teliti daripada penanaman hingga pembungkusan oleh komuniti setempat.
Menurutnya, inisiatif ini sebagai meneruskan legasi ibunya, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang gigih memperjuangkan pendidikan dan pemuliharaan orkid sejak tahun 2018.
Majlis turut menyaksikan pengenalan 20 ahli baharu SARORSO Cawangan Kota Samarahan yang bakal menerajui Projek Komuniti Pemuliharaan Orkid di daerah ini.