MUKAH: Projek pembinaan Jambatan Batang Igan kini siap 0.90 peratus mendahului jadual dan dijangka siap pada April 2025.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, kemajuan projek kini mencapai 60.77 peratus berbanding jadual 59.87 peratus.
“Kerajaan Sarawak akan terus memantau projek pembinaan jalan pesisir Sarawak bagi memastikan kontraktor dilantik menyiapkan projek mereka dalam tempoh ditetapkan.
“Keseluruhan projek melibatkan 23 pakej dengan 13 berada di bahagian Mukah, daripada jumlah itu empat pakej kerja naik taraf jalan raya didapati mengalami kelewatan dan ditender semula.
“Salah satu pakej yang lewat, iaitu jalan raya dari Balingian ke Kuala Balingian yang mengalami kelewatan hampir 30 peratus daripada jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat status perlaksanaan projek oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah di sini, hari ini.
Sehubungan itu kata Ir Aidel, bagi mengatasi kelewatan itu, JKR diarahkan agar bertindak segera dengan melakukan penelitian semula kontrak tersebut.
Untuk rekod, projek di bahagian ini merangkumi lapan pakej pembinaan dan naik taraf jalan raya, tiga pakej jambatan dan satu pakej pembinaan bulatan meliputi keseluruhan laluan sepanjang lebih 137 kilometer (km).
