Inisiatif bantuan ringankan beban pesakit buah pinggang

LAWAS: Inisiatif Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) Kerajaan Sarawak kini turut diperluaskan kepada penduduk di kawasan luar bandar seperti Lawas.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak itu bagi membantu meringankan beban kewangan pesakit buah pinggang terutama golongan B40 di negeri ini.

Melalui inisiatif itu penghidap penyakit buah pinggang yang telah didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang tahap akhir (ESFR) boleh mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau klinik kesihatan kerajaan secara percuma, katanya berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina Bahagian Limbang di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, jika pesakit tidak dapat melakukan rawatan di hospital kerajaan dan klinik kesihatan kerajaan (penuh) mereka perlu melakukannya di pusat swasta.

Di Sarawak ada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat antaranya BKPBP dalam membantu pesakit buah pinggang, terutamanya pesakit yang tidak dapat menjalankan hemodialisisnya di hospital kerajaan dan terpaksa mendapatkan khidmat yang disediakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atapun swasta,” katanya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat menyalurkan dua mesin hemodialisis untuk kegunaan pesakit buah pinggang di Hospital Lawas bernilai RM82,300 pada majlis berkenaan.