Penduduk Bukit Engkerbai, Lubok Bemban terima bantuan makanan

MUKAH: Sebanyak 379 pek bantuan makanan dihantar kepada penduduk kawasan Bukit Engkerbai dan Lubok Bemban, di sini, hari ini.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Agensi Pertahanan Awam (APM) Mukah, kawasan terbabit terputus perhubungan jalan akibat kenaikan paras air di Nanga Tajam.

Ini menjejaskan sebanyak 19 rumah panjang dan dua sekolah iaitu SK Bukit Engkerbai dan SK Lubok Bemban.

“Penghantaran bantuan makanan berjalan lancar dan selamat. Kesemua pintu rumah telah menerima pek makanan yang diserahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mukah,” menurut APM.

Makanan terbabit dihantar anggota APM, polis, JKM, Pejabat Daerah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pusat Khidmat N.57 Tellian serta dibantu agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.