LAWAS: Ceramah antiscam merupakan sebahagian daripada program mengelak golongan wanita mudah diperdayakan scammer berhubung penipuan pelaburan yang tidak wujud dan tawaran gaji lumayan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program itu kebiasaannya dianjurkan bersama Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk memberi kesedaran kepada golongan terbabit.
Majoriti kes penipuan dalam talian atau lebih dikenali sebagai ‘Love Scam’ di Sarawak itu menyasarkan golongan wanita yang berusia, katanya selepas Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina Bahagian Limbang di sini semalam.
Menurut beliau, modus operandi yang dilakukan scammer sering menjadikan wanita kesunyian sebagai sasaran utama.
Fatimah menegaskan kebiasaannya scammer turut menyasarkan wanita yang sudah pencen serta memiliki banyak sumber kewangan.
Selain terjerat Love Scam, katanya, kebanyakan wanita di Sarawak turut menjadi mangsa ‘Job Scam’ yang menyasarkan wanita lebih muda.
Sindiket Job Scam itu, tambahnya, direkrut oleh sindiket yang mempunyai skrip tertentu untuk memperdaya mangsa.
