KUCHING: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) akan mengutamakan aktiviti menjana pendapatan sebagai agenda utamanya.
Timbalan Premier merangkap Pengerusi BDDA, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, hari ini agensi itu telah membentuk pelbagai jawatankuasa kecil untuk melihat potensi yang belum diterokai dalam pelancongan, ekonomi dan pertanian moden.
“Saya telah mengarahkan jawatankuasa ini untuk mengemukakan rancangan dan cadangan masing-masing.
“Kami akan mengkaji dan memutuskan yang terbaik dengan tujuan untuk membangunkan dan menyusun strategi dalam usaha menjana pendapatan untuk rakyat.
“Ini selaras dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 untuk Sarawak menjadi wilayah maju menjelang 2030,” katanya selepas merasmikan bengkel kelima BDDA di sini, hari ini.
Sementara itu, Uggah memberitahu Bahagian Betong masih mempunyai banyak potensi yang menunggu untuk dibangunkan.
Selain itu, Uggah juga menyifatkan sektor pelancongan mempunyai potensi memandangkan rantau ini mempunyai flora dan fauna, kawasan luar bandar yang bersih, rumah panjang tradisional dan kekayaan budaya penduduknya.
