Tidak terpilih calon bukan alasan sabotaj parti

KUCHING: Ahli-ahli parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan supaya tidak menjadikan kegagalan dipilih sebagai calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 sebagai alasan merajuk atau mensabotaj parti.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai berkata, sebaliknya semua ahli perlu menghormati keputusan parti dan menyokong calon yang dipilih demi memastikan kemenangan GPS.

“Siapa pun yang dipilih menjadi calon, kita sokong, siapa pun yang tidak dipilih, kita tetap berjuang.

“Kerana yang penting bukan siapa calon, yang penting parti kuat, GPS menang, dan Sarawak terus stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, persaingan sesama parti komponen tidak sepatutnya berlaku kerana cabaran sebenar adalah daripada parti lawan.

Jelasnya, perpecahan dalam kalangan ahli hanya akan menguntungkan pihak lawan dan merugikan rakyat Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli PRS dan jentera GPS supaya menghormati keputusan parti serta kepimpinan Premier Sarawak.

Beliau turut menegaskan disiplin, perpaduan dan kesetiaan merupakan asas penting bagi memastikan kemenangan GPS. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI