Lebih 2,500 peserta meriahkan Fun Run SKS Bahagian Samarahan

SAMARAHAN: Program Fun Run sejauh lima kilometer sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 2,500 peserta.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, sambutan itu membuktikan Fun Run menjadi antara aktiviti yang dinanti-nantikan masyarakat Sarawak.

“Fun Run merupakan sebahagian daripada pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang SKS berlangsung di Samarahan.

“Program ini juga menjadi platform menghimpunkan masyarakat menerusi aktiviti bersama,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perlepasan Fun Run bersempena Program Sarawakku Sayayng Bahagian Samarahan di Halaman Samarahan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, Bahagian Samarahan merupakan lokasi ke-11 penganjuran SKS tahun ini dan diharap menerima lebih ramai pengunjung.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Samarahan atas sokongan dan penyertaan dalam menjayakan Fun Run.

Jelasnya, penglibatan masyarakat penting bagi meraikan pencapaian kawasan dan negeri bersama rakyat Sarawak.

Beliau berharap sambutan positif itu dapat diteruskan dalam penganjuran SKS akan datang. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI