Pengukuran tanah NCR diteruskan – Awang Tengah

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan program pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan kampung tradisional selagi diperlukan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah ini bagi memastikan hak pemilikan tanah rakyat mendapat pengiktirafan yang sah.

Menurutnya, usaha berkenaan merupakan inisiatif berterusan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah yang berlarutan sejak sekian lama.

Jelasnya, sejak pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pada 2010 hingga Oktober 2026, kira-kira 1.25 juta hektar tanah NCR di seluruh Sarawak berjaya diukur secara perimeter.

“Daripada jumlah itu, hampir 980,000 hektar diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

“Program berkenaan dilaksanakan melalui dua peringkat, iaitu pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6.

“Ia diikuti pengukuran lot individu bagi pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Surat Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi Dewan Undangan Negeri N.4 Pantai Damai, di Dewan Yayasan Sarawak, di Kuching, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Pengarah Tanah dan Survei Sarawak,Datu Ahmad Zamhari Awang Mahmood.

Katanya, sebelum kerja pengukuran dilaksanakan, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak akan mengadakan sesi dialog serta perbincangan bersama penduduk dan pihak berkepentingan bagi memastikan persetujuan dicapai.

Langkah itu ujarnya, penting bagi mengelakkan pertindihan tuntutan serta memastikan proses pengukuran tanah berjalan lancar mengikut peruntukan undang-undang.

Awang Tengah turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf hak pemilikan tanah adat Bumiputera berdasarkan bukti yang sah dan memenuhi syarat perundangan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menanggung kos pengukuran dan premium tanah di bawah program berkenaan bagi membantu rakyat mendapatkan surat hak milik tanpa dibebankan dengan kos tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan infrastruktur serta penggunaan teknologi pertanian moden mampu meningkatkan nilai tanah dan membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar.

Seramai 338 penerima dari enam kampung di kawasan DUN N4 Pantai Damai menerima sebanyak 362 Surat Hak Milik Tanah masing- masing.

Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memberi jaminan hak pemilikan tanah kepada penuntut tanah yang sahih tuntutannya dalam perundangan. – NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI