PDP sedia pertahan lapan kerusi PRU DUN Sarawak

KUCHING: Parti Demokratik Progresif (PDP) bersedia mempertahankan kesemua lapan kerusi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.

Presidennya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, pendirian parti itu jelas untuk memastikan semua kerusi berkenaan terus kekal di bawah PDP.

“Kami berpendirian untuk mempertahankan kesemua lapan kerusi DUN yang dimiliki PDP pada PRU DUN Sarawak yang akan datang,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan majlis tersebut.

Jelasnya, PDP sebelum ini pernah kehilangan tiga kerusi, namun tidak membangkitkan perkara itu demi menjaga keharmonian dalam GPS.

Beliau berharap kepimpinan GPS dapat membantu memastikan kepentingan parti dalam pembahagian kerusi terus diberi perhatian.

“PDP tidak mahu kehilangan kerusi atas alasan yang sama seperti sebelum ini,” ujarnya lagi.

Tegasnya, komitmen tersebut bertujuan memperkukuh perpaduan dan kerjasama antara parti komponen GPS.

Tiong yakin kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mampu membantu memastikan keharmonian gabungan itu terus terpelihara menjelang PRU DUN Sarawak ke-13. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI