Laluan diploma dicadang untuk lepasan persijilan MIS

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) disaran memperkukuhkan kerjasama dengan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) bagi membuka laluan pengajian ke peringkat diploma kepada lepasan program persijilan institusi berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kelayakan akademik dan profesional peserta, khususnya dalam bidang kepimpinan imam, pengurusan masjid serta pengajian Islam.

Menurutnya, perbincangan awal telah diadakan dengan pihak IKMAS bagi meneroka peluang menyediakan program diploma kepada peserta yang berminat melanjutkan pengajian.

“Mod pengajian boleh dirancang secara modular separuh masa ataupun gabungan bersemuka dan dalam talian.

“Ini mengambil kira peserta kita yang berada di seluruh Sarawak, khususnya di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Majlis Islam Sarawak 2026, di Kompleks Islam Sarawak, di sini hari ini.

Dr Abdul Rahman berkata, satu kumpulan kerja melibatkan MIS dan IKMAS juga dicadang ditubuhkan bagi meneliti struktur program, tenaga pengajar, kos serta bantuan kepada peserta sebelum pelaksanaannya.

Katanya, peluang turut perlu diteroka bagi membolehkan lepasan program persijilan berkenaan memperoleh Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 menerusi kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan meningkatkan kompetensi imam supaya peranan mereka tidak hanya tertumpu kepada memimpin solat, sebaliknya turut menjadi rujukan masyarakat dalam hal ehwal agama.

“Seorang imam bukan sahaja memimpin solat lima waktu, malahan menjadi tempat masyarakat sekeliling mendapat bimbingan agama,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus masjid yang cekap, telus dan berintegriti bagi memastikan institusi berkenaan terus mendapat kepercayaan masyarakat.

Justeru, beliau mahu masjid ditadbir dengan amanah, rekod kewangan yang teratur dan juga diisi dengan program-program yang memberi manfaat kepada jemaah dan masyarakat setempat.

Beliau berharap ilmu dan kemahiran diperoleh peserta dapat dimanfaatkan serta dikongsikan dengan masyarakat, selaras dengan usaha memperkukuhkan pembangunan umat Islam Sarawak menjelang 2030.

Seramai 221 peserta berjaya menamatkan Sijil Pengajian Islam, manakala 267 peserta menamatkan Sijil Pengajian Bahasa Arab menerusi program pendidikan yang dilaksanakan.

Turut hadir Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Datu Mual Suaud, Timbalan Pengarah IKMAS, Datuk Tuan Asnawi Tuan Umar dan Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim.