Fadillah hargai keputusan parti lain tidak bertanding di Sarawak

KUCHING: Keputusan Barisan Nasional (BN) dan beberapa parti lain untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 merupakan hak masing-masing dalam sebuah negara demokrasi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang di-Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, setiap parti bebas membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak dalam pilihan raya berkenaan.

“Itu hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis peluncuran Program Juh Melabur, Anak Sarawak anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), di sini, semalam.

Menurut Fadillah, amalan demokrasi di Malaysia memberi kebebasan kepada setiap parti politik untuk menentukan pendirian masing-masing, termasuk membuat keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada BN yang sejak sekian lama tidak meletakkan calon untuk bertanding di Sarawak.

Beliau turut menghargai keputusan parti-parti lain yang memilih untuk tidak bertanding pada PRN kali ini.

“Kepada parti-parti lain yang tidak bertanding, saya mengucapkan terima kasih. Ini akan membantu memastikan kestabilan politik,” katanya.