Medan Niaga Permaidani BGS perlukan kawasan parkir kereta

KUCHING: Kemudahan tempat letak kereta akan ditambah bagi pengunjung ke Medan Niaga Permaidani Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS) di sini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, pihaknya akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengenai perkara itu.

“Kami akan berbincang dengan DBKU untuk membuka laluan di Kampung Sourabaya untuk tempat letak kereta,” katanya pada majlis pembukaan semula Medan Niaga Permaidani GBS, di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman berkata, ia perlu kerana masalah ruang sempit di kawasan kampung tradisi terbabit dan tidak dapat menampung kedatangan kenderaan yang ramai ke medan niaga itu.

Katanya, pertambahan tempat letak kereta itu antara cadangan dikemukakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan terbabit.

Di samping itu, turut dicadangkan perkhidmatan ‘buggy’ bagi membawa penumpang datang ke kawasan ini.

“Kita akan berbincang dengan DBKU untuk mendapatkan kelulusan kerana ia melibatkan aliran trafik untuk masuk ke kawasan ini yang juga jalan mati,” tambahnya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Datu Abdul Hadi Datuk Kadir.