Medan Niaga BGS tarikan baharu pelancong

KUCHING: Medan Niaga Permaidani Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS) bakal menjadi satu lagi tarikan pelancong yang datang berkunjung ke Sarawak.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, BGS mempunyai 40 unit lot kedai yang menempatkan gerai-gerai niaga makanan di Kampung Boyan, Gersik serta makanan kering dan kraf tangan.

“Terima kasih Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) kerana dapat membina medan niaga ini walaupun banyak cabaran tapi dapat siap sepenuhnya pada September 2023,” katanya selepas merasmikan Medan Niaga BGS di sini.

Dr Rahman menambah Medan Niaga BGS akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di kawasan itu yang sudah terkenal dengan pelbagai tempat menarik.

“Banyak mercu tanda pelancong berdekatan kawasan sini seperti Dataran Ibu Pertiwi dan English Tea House yang akan dibuka pada bulan depan. Kita juga ada ‘Boyan Walk’, air pancut dan lain-lain,” katanya.

Oleh itu, beliau menyarankan peniaga dan pengusaha yang dipelopori Koperasi Boyan Berhad dan usahawan di Kampung Gersik turut serta memastikan agenda pembangunan dan pemerkasaan ini dapat dijayakan.