KABONG: Projek tukun tiruan yang dilabuhkan di Sarawak khususnya di Kabong mampu memberi manfaat kepada nelayan termasuk biodiversiti marin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir berkata, ia susulan projek berkenaan boleh mengurangkan aktiviti pencerobohan nelayan pukat tunda di kawasan zon tangkapan nelayan.
“Ini adalah usaha baik bagi
meningkatkan sumber ikan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan nelayan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri sesi taklimat berkenaan pengesahan koordinat tukun tiruan dan taklimat bersama nelayan di Daerah Kabong di sini, hari ini.
Untuk rekod, di bawah fasa pertama Projek Tukun Bebola Sarawak, sejumlah 16,800 tukun bebola diturunkan di sepanjang perairan negeri ini dari 2018 hingga 2022 iaitu sepanjang 746 kilometer (km).
Sementara sebanyak 23,500 tukun bebola telah dilabuhkan di perairan Sarawak dari 1998 hingga 2022.
Objektif projek untuk meningkatkan sumber perikanan, menawarkan peluang dalam eko-pelancongan berasaskan marin selain membangunkan projek perintis marikultur karang sebagai peluang ekonomi baharu di Sarawak.
