KUCHING: Seramai 986 Dhuyufurrahman dari negeri ini terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima pada musim haji tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 133 bakal haji berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi manakala bakinya akan bertolak secara berfasa.
Terdahulu pada petang tadi, kesemua 133 bakal haji itu disantuni oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dalam Majlis Keberangkatan Jemaah Haji Sarawak yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuching.
Pada majlis berkenaan, Tun Pehin Sri serta Toh Puan berkesempatan beramah mesra serta mengucapkan selamat jalan kepada 133 Dhuyufurrahman dari Sarawak.
Setiba di KLIA, para jemaah akan digabungkan bersama bakal haji dari Lembah Klang sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci menaiki pesawat khas Amal Malaysia Airlines pada jam 12.05 tengah malam dan dijangka tiba di Madinah pada jam 3.50 pagi waktu Arab Saudi pada hari yang sama.
Untuk rekod, penerbangan ke Tanah Suci bermula dari 18 April hingga 20 Mei 2026, manakala penerbangan pulang dijadual berlangsung dari 4 hingga 30 Jun 2026.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim, Ketua Integriti dan Tadbir Urus Tabung Haji Mohd Hasraff Hashim, Pengarah Lembaga Tabung Haji Bagi Wilayah Sarawak dan Sabah Datuk Nurlaila Said.
