SEMOP: Pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak sejak lebih sedekad lalu terus membawa perubahan kepada penduduk di Pulau Bruit.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perubahan itu dapat dilihat menerusi pembinaan jalan raya, jambatan serta penyediaan kemudahan bekalan elektrik.
Menurutnya, pembangunan tersebut membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan luar bandar dan pedalaman menikmati kemudahan infrastruktur.
“Pembinaan Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Paloh, selain jaringan jalan raya meningkatkan hubungan antara Pulau Bruit dengan kawasan sekitarnya sekali gus memudahkan pergerakan penduduk dan aktiviti ekonomi.
“Kemudahan infrastruktur turut memberi manfaat kepada golongan nelayan dan petani, khususnya dalam memasarkan hasil pertanian serta tangkapan laut ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Pulau Bruit-Temasya Lautani di Tapak Utama Pesta, di sini, hari ini.
Abdul Karim turut berharap penganjuran acara itu dapat terus meningkatkan kesejahteraan penduduk serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Residen Bahagian Mukah Bujang, Rahman Seli dan Pegawai Daerah Daro, Zul Usup.
