Lawas Kitchen jana ekonomi usahawan tempatan

LAWAS: Pelancaran Lawas Kitchen dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan tempatan, khususnya dalam sektor makanan dan minuman.

Ia menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih kondusif serta membuka peluang kepada usahawan memperluas pasaran.

Kemudahan itu dilancarkan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sempena Pesta Lawas 2026 di sini, hari ini.

Lawas Kitchen mengetengahkan keunikan makanan tempatan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di daerah berkenaan.

Pesta Lawas 2026 menyasarkan jumlah jualan RM500,000 sepanjang penganjurannya dengan jualan terkumpul mencecah RM307,555 setakat 6 November.

Pencapaian tersebut memperlihatkan potensi penganjuran acara komuniti sebagai platform memperluas pasaran dan meningkatkan pendapatan usahawan tempatan.

Melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi penyediaan infrastruktur, peningkatan kapasiti, akses pembiayaan serta peluasan pasaran.